
CARITAS MANGGATAL, 14 Februari 2026 – Semangat kasih, keprihatinan dan solidariti sesama insan terus dizahirkan melalui misi bantuan kemanusiaan yang dianjurkan oleh Caritas Good Shepherd Manggatal kepada komuniti yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Dalam misi tersebut, sebanyak tiga buah kampung, iaitu Kampung Mensiang 1, Kampung Mensiang 2 dan Kampung Dombung, telah menerima sumbangan bakul makanan bagi membantu meringankan beban keluarga yang terkesan akibat bencana tersebut. Bantuan yang disalurkan ini diharap dapat memenuhi keperluan asas penduduk serta memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang sedang berdepan dengan cabaran pasca-banjir.
Turut hadir menjayakan misi kemanusiaan ini ialah Sr. Anita dari Caritas Keuskupan Kota Kinabalu bersama seorang sukarelawan antarabangsa, Peter dari Polandia, yang sama-sama turun padang menyampaikan bantuan kepada penduduk kampung. Kehadiran mereka bukan sahaja membawa bantuan keperluan harian, malah turut menyampaikan mesej harapan, sokongan dan kasih kepada komuniti yang memerlukan.


Sepanjang program berlangsung, para sukarelawan berpeluang berinteraksi dengan penduduk setempat, mendengar sendiri pengalaman serta cabaran yang dihadapi oleh mangsa banjir. Semangat kerjasama dan gotong-royong yang ditunjukkan oleh semua pihak menjadi lambang perpaduan dan keprihatinan masyarakat dalam menghadapi saat-saat sukar.
Misi bantuan ini mencerminkan komitmen berterusan Caritas dalam melaksanakan pelayanan sosial dan kemanusiaan, khususnya kepada golongan yang memerlukan bantuan dan sokongan. Ia juga menjadi tanda bahawa dalam setiap kesusahan yang dihadapi, masih ada insan yang sedia menghulurkan tangan demi kesejahteraan bersama.
“Di mana ada kasih, di situ ada Allah.” Tema ini jelas terpancar melalui tindakan dan pengorbanan para sukarelawan yang hadir, membuktikan bahawa kasih bukan sekadar kata-kata, tetapi diterjemahkan melalui perbuatan yang membawa harapan kepada mereka yang memerlukan.
Semoga usaha murni ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk terus mengamalkan nilai kasih, keprihatinan dan semangat membantu sesama insan tanpa mengira latar belakang, demi membina masyarakat yang lebih bersatu, penyayang dan berdaya tahan.
Lawatan Amal Sempena Musim Minggu Suci
Sebagai menghayati makna sebenar Minggu Suci yang penuh dengan kasih, pengorbanan dan pelayanan, Komiti Caritas Good Shepherd Manggatal telah mengadakan Lawatan Amal serta Kunjungan Kasih kepada beberapa warga emas dalam komuniti setempat. Program ini dilaksanakan sebagai tanda keprihatinan gereja terhadap mereka yang memerlukan perhatian, sokongan dan semangat persaudaraan.
Melalui kunjungan ini, para sukarelawan bukan sahaja menyampaikan sumbangan keperluan harian, malah turut meluangkan masa beramah mesra, mendengar perkongsian kehidupan serta memberikan kata-kata semangat kepada para penerima. Kehadiran para sukarelawan membawa kegembiraan dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dalam komuniti, khususnya kepada warga emas yang sering memerlukan sokongan moral dan perhatian.
Sumbangan yang diberikan bukan sekadar bantuan material, tetapi merupakan lambang kasih Tuhan yang dizahirkan melalui tindakan nyata. la mencerminkan semangat kebersamaan, harapan dan kepedulian. Tuhan Yesus memberkati.





